Pages

Sunday 13 January 2013

Memproses produk rumpai laut

SEBAHAGIAN daripada proses menghasilkan produk carrageenan separa tulen daripada rumpai laut.


MELIHAT kepada pengeluaran dan permintaannya yang begitu tinggi, tentu ada bertanya apakah sebenarnya kegunaan rumpai laut. Secara asasnya, tumbuhan jenis mikroalga yang juga dikenali sebagai agar-agar itu mempunyai kegunaan yang cukup luas terutama dalam industri pembuatan, perubatan dan kosmetik.
Di negara ini, aktiviti memproses dan menghasilkan produk rumpai laut mentah diterajui oleh sebuah syarikat tempatan dikenali sebagai Tacara Sdn. Bhd.
Ditubuhkan sejak tahun 1997, ketika itu syarikat berkenaan mula menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) mengenai aktiviti pemprosesan rumpai laut kering untuk pasaran eksport.
Beberapa tahun selepas itu, syarikat tersebut terlibat pula dalam penghasilan produk carrageenan separa tulen untuk digunakan sebagai bahan penstabil dan pengimulsi makanan.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Chung Thau Yong, produk carrageenan separa tulen itu dihasilkan dalam bentuk serbuk, gel dan juga cip.
‘‘Semua bahan mentah untuk menghasilkan produk carrageenan separa tulen diperolehi daripada para penternak rumpai laut di kawasan Semporna.
‘‘Produk ini mendapat permintaan tinggi kerana ia sesuai digunakan dalam penghasilan beberapa produk hiliran seperti kosmetik dan bahan makanan.
‘‘Ia biasanya akan dieksport ke negara-negara seperti Eropah, Jepun, Sepanyol dan Perancis,’’ katanya ketika ditemui di kilangnya di Tawau, Sabah baru-baru ini.
Dengan kekuatan tenaga kerja seramai 60 orang, syarikat tersebut mampu mengeluarkan lebih kurang 100 tan produk carrageenan separa tulen berbentuk serbuk dan 35 tan berbentuk cip dalam masa sebulan.
Berbicara mengenai kerjasamanya dengan Sirim Berhad (Sirim), Chung memberitahu, organisasi tersebut telah membantu dari sudut penyediaan teknologi pengeringan.
Berbanding operasi pengeringan konvensional yang menggunakan kulit kelapa sawit dan tempurung sebagai bahan api, teknologi moden itu lebih ringkas dan mudah.
Ini kerana, teknologi tersebut mampu mengekalkan kandungan kelembapan rumpai laut dengan lebih seragam iaitu antara 15 hingga 20 peratus.
Selepas pengeringan, rumpai laut akan menjalani proses stim sebelum dipotong dalam saiz yang lebih kecil dan kemudiannya dikisar mengikut saiz yang dikehendaki.
Syarikat tersebut juga amat mementingkan kualiti produk yang dihasilkan di mana setiap produk akhir akan menjalani proses pengujian sampel bagi memastikan kandungan kelembapannya tidak melebihi 12 peratus.
Sementara itu, Presiden Sirim, Ir. Yahaya Ahmad pula memberitahu, pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan Tacara Sdn. Bhd sejak tahun 2003.
‘‘Sebagai sebuah organisasi teknikal, inisiatif penyediaan mekanisme moden ini bermatlamat memperkembangkan industri rumpai laut selain menjaga kualiti produk akhirnya supaya mengikut standard yang telah ditetapkan sebelum dihantar untuk eksport.
‘‘Dengan jaminan kualiti hasil implementasi teknologi canggih, harga produk-produk rumpai laut ini kini meningkat antara tiga hingga empat kali ganda.
‘‘Untuk projek ini, kita telah menjalankan usaha sama dan menerima dana daripada kerajaan Denmark,’’ jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau trut memberitahu, ketika ini kumpulan penyelidik Sirim sedang giat menjalankan aktiviti R&D berkaitan potensi tumbuhan alga.
Objektifnya adalah untuk memastikan kualiti produk rumpai laut sentiasa berada di tahap yang konsisten dan mampu menerima pensijilan piawaian standard antarabangsa ISO.
‘‘Dengan adanya pengiktirafan ini, produk-produk berasaskan rumpai laut pastinya akan lebih mudah mendapat tempat dalam pasaran antarabangsa
‘‘Justeru, kita amat berharap supaya syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri ini bekerja keras demi memaju dan membangunkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih baik,’’ katanya.
Pada masa akan datang, Sirim bercadang untuk terlibat dalam aktiviti R&D mencari formulasi terbaik bagi pengeluaran produk kosmetik berasaskan rumpai laut.

No comments:

Post a Comment